Untuk Kenalan

butang teman

iklan terkini

Friday, August 19, 2011

Berhubung tindakan pemeriksaan JAIS terhadap satu majlis pada 3 Ogos 2011 di Gereja Methodist Damansara Utama yang dikatakan turut dihadiri oleh umat Islam, beberapa tindakan dari sudut perundangan boleh diambil sekiranya siasatan pihak JAIS mendapati ada usaha atau elemen-elemen pelanggaran Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 Bahagian II dan III Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Aqidah berlaku dengan mengguna pakai beberapa seksyen daripada enakmen tersebut seperti:-

Seksyen 5

Mendakwa Bukan Orang Islam Untuk Mengelakkan Tindakan

Mana-mana orang yang mendakwa dirinya bukan orang Islam untuk mengelakkan apa-apa tindakan diambil terhadap dirinya di bawah Enakmen ini atau mana-mana Enakmen lain yang berkuatkuasa di Negeri ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 10

Menghina atau Menyebabkan Dipandang Hina, dll, agama Islam

Mana-mana orang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain:-

(a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina;

(b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau

(c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya

Seksyen 12

Menghina Pihak Berkuasa Agama

Mana-mana orang yang bertindak dengan cara menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan:-

(a) Duli Yang Maha Mulia Sultan atas sifat-sifat Baginda sebagai Ketua Agama Islam;

(b) Majlis;

(c) Mufti, yang dinyatakan atau diberikan fatwa,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 3,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.


Jadi kepada mana-mana pihak terlibat dalam isu pemeriksaan JAIS terhadap GMDU bolehlah memilih mana-mana seksyen yang sesuai. Perlu dijelaskan di sini bahawa apa yang cuba dipaparkan oleh Tukang Screw adalah tindakan pihak JAIS terhadap GMDU berdasarkan maklumat yang diterima bahawa terdapat elemen atau unsur-unsur kristianisasi sedang dijalankan oleh pihak gereja serta sejauhmana kebenaran maklumat tersebut. Dalam hal ini tiada siapa daripada 12 orang Islam yang dikesan turut hadir dalam Majlis Thanksgiving Dinner yang dituduh telah murtad atau keluar Islam dan hanya yang dipaparkan mereka turut hadir dalam majlis tersebut. Hanya ada kemungkinan atau keberangkalian bahawa mungkin terdapat atau dipercayai ada individu yang telah murtad berdasarkan tindakan atau perlakuan atau tutur kata individu tersebut yang boleh memberi persepsi bahawa dia telah murtad tanpa memberi penekanan kepada hal pemurtadan tersebut.


Wallahualam, sekadar renungan bersama dan tiada niat selain niat menegakkan kesucian Islam dan memperlihatkan di mana pendirian dan tindakan pihak yang sering mewar-warkan diri sebagai pejuang Islam yang kononnya mempertahankan kesucian Islam dalam isu ini. UMNO memang Tukang Screw telah tolak tepi sejak dari awal kerana masih tidak mampu melaksanakan sepenuhnya tuntutan Islam dan hanya menyediakan dari segi fizikalnya sahaja. Apatah lagi untuk menyelesaikan isu ini. Mungkin blogger seperti Tukang Screw ini dan rakan-rakan lain dituduh proUMNO, prokerajaan kerana tidak memihak kepada pembangkang dalam hal ini. Kami tidak mampu menyelesaikan isu ini atau isu yang melibatkan akidah umat Islam kerana kami tidak mempunyai apa-apa kuasa eksekutif.

Sekurang-kurangnya kami cuba ketengahkan permasalahan yang berlaku untuk tindakan pihak berwajib yang mempunyai kuasa eksekutif setelah dipilih rakyat melalui pilihan raya. Rasa terhina dan tidak berbaloi apabila kami dituduh cuba merosakkan Pakatan Rakyat di Selangor yang mana sebenarnya tuduhan tersebut cuba lari daripada isu sebenar iaitu ISU AKIDAH UMAT ISLAM. JANGAN KUMAN DI SEBERANG NAMPAK TETAPI GAJAH DI DEPAN MATA TAK NAMPAK! Kepada pihak berwajib, jalankanlah tanggungjawab yang diamanahkan seikhlas mungkin tanpa kepentingan politik. Ingatlah bahawa setelah matinya anak-anak Adam hanya tiga perkara sahaja yang dibawa: Amal kebajikan, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak yang soleh yang akan mendoakan si mati dan bukannya UNDI!

Video bercanggah dengan penjelasan pegawai gereja




KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Satu video yang didakwa diambil semasa makan malan Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) pada 3 Ogos yang lalu telah menunjukkan percanggahan dengan apa yang dinyatakan oleh para pegawai GMDU bahawa majlis tersebut tidak mempunyai kaitan dengan agama.

Namun, video enam minit yang kini hangat tersebar di internet sejak awal minggu ini telah menunjukkan seorang lelaki yang mengatakan dirinya seorang umat Islam memberitahu para hadirin makan malam tersebut mengenai didikan Islam yang diterimanya dan bagaimana beliau telah tertarik kepada agama Kristian.

Di babak mula video tersebut, lelaki tersebut, yang nampak awal 40-am, menceritakan bagaimana beliau dan keluarganya dibesarkan dalam suasana keIslaman yang penuh berdisiplin, dengan menyatakan bahawa beliau disuruh melakukan banyak perkara ibadah Islam tambahan, tapi tidak memahami mengapa ia dilakukan, termaksud maksud al-Quran yang dibaca, termaksud yang sudah diterjemahkan.

“Jadi saya hanya baca (Quran) secara membuta-tuli tanpa memahami maksudnya sebenar,” video tersebut menunjukkan lelaki tersebut sedang memberikan ucapan di atas pentas, sementara pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) cuba memasuki dewan makan tersebut.

“Adik-beradik saya dan seluruh ahli keluarga dibesarkan untuk menjadi umat Islam yang sangat berdisiplin, jadi kita lakukan semua perkara, solat sunat dan doa, puasa sunat, doa dan segala-galanya sunat [ketawa].

"OK yang mengenai keluarga saya ..” beliau teruskan, sebelum video memfokuskan kepada rundingan antara para pegawai Jais dengan pengelola makan malam tersebut di pintu masuk dewan.

“Tiada Muslim… saya tidak tahu”

Seorang wanita pula kelihatan menafikan bahawa terdapat beberapa umat Islam yang hadir dalam majlis makan malam tersebut ketika disoal pegawai Jais.

“Ini function sebagai Muhibah… nyanyi-nyanyi lagu… Kita pun ada orang Muslims kerja di sini menyapu…” kata beliau.

“Bagaimana pula di dalam?” soal pegawai Jais.

“Saya tak tahu, tapi saya rasa tiada umat Islam di dalam dewan. Semuanya Kristian,” jawab beliau.

“Sekiranya ada umat Islam, bagaimana? Boleh anda bagi jaminan?” soal pegawai Jais itu lagi, di mana wanita tersebut menjawab beliau bukan pengelola.

Pada masa ini, terdapat seorang wanita yang berpakaian baju kurung kuning dengan nama tag “Sophia” telah bersuara menjelaskan bahawa wanita terbabit adalah tetamu beliau, dan beliau adalah pengelola makan malam tersebut.

Para pegawai Jais turut menunjukkan beberapa keping kertas yang menunjukkan jadual majlis makan malam tersebut, dan menuntut untuk mengapa lagu ‘Alhamdulilah’ dan ‘Allahu Akbar’ disenaraikan.

Menjawab persoalan ini, Sophia menjawab bahawa dua perkataan tersebut hanya bermaksud, “Puji kepada Tuhan” dan “Tuhan maha berkuasa”.

Sebelum itu, Harapan Komuniti, sebuah organisasi amal, mendakwa bahawa majlis itu ialah 'makan malam kesyukuran' untuk meraikan golongan miskin dari semua kaum.

Presiden MAC (Majlis Aids Malaysia) Datuk Mohd Zaman Khan Rahim Khan, yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah juga dipetik sebagai berkata majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti itu dianjurkan Gereja Methodist Damansara Utama untuk mengumpul dana bagi pertubuhan rakan MAC di premis itu.

Manakala, Jais yang kini diserang bertubi-tubi oleh beberapa kumpulan kerana menyerbu majlis makan malam tersebut, tegas menafikan bahawa serbuan berlaku.

Sementara itu, usaha PAS untuk mendapatkan maklumat sebenar daripada Jais dan GMDU juga tergendala apabila kedua-dua pihak meminta parti Islam tersebut untuk menangguhkan pertemuan tersebut.

GMDU telah meminta PAS untuk menangguhkan perjumpaan atas alasan liputan media yang terlalu melu

Isu FBC Media

Penyelewengan wang rakyat

Ooi Heng & KPRU

Baru-baru ini, dunia kewartawanan bersifat penyiasatan dipelopori SarawakReport menyaksikan pendedahan skandal penyelewengan wang rakyat (baca: pembayar cukai) sebanyak RM57.68 juta dalam projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ yang juga merupakan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited, yakni sebuah firma media dan hiburan di Eropah. Terdapat kemusykilan berkaitan wang rakyat dipergunakan oleh pemimpin kerajaan untuk kepentingan politik tetapi bertopengkan nama ‘negara’.

Walaupun defisit fiskal negara kekal tinggi sejak pasca krisis kewangan 1997/98 sehingga hari ini, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sering berbicara mengenai keazaman kerajaan untuk mengurangkan deficsit fiskal, tetapi pendedahan demi pendedahan kes-kes tertentu masih menunjukkan bahawa kerajaan hari ini terlibat dengan pembaziran atau dakwaan penyelewengan wang rakyat untuk projek-projek yang tidak diketahui butirannya. Semuanya kononnya atas nama kepentingan negara atau pembangunan negara.

Dalam pendedahan baru-baru ini, kerajaan didakwa ‘mendahulukan rakyat’ dengan membelanjakan wang rakyat dalam kempen publisiti politik kotor. Kerajaan menyatakan projek berkaitan berfungsi untuk mengendalikan kempen media di peringkat antarabangsa dan menjalankan beberapa aktiviti promosi Malaysia. Namun demikian,SarawakReport telah mendedahkan bahawa apa yang dikendalikan oleh projek tersebut bercorak aktiviti politik kotor yang melibatkan serangan peribadi dan publisiti palsu melalui program televisyen dan blog.

Kajian yang dijalankan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendapati, terdapat sekurang-kurangnya tiga peruntukan Belanjawan Negara yang melibatkan projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ atau FBC Media. ketiga-tiga peruntukan tersebut didapati termaktub dalam Maksud B.6 yang merujuk kepada perbelanjaan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Apa yang menarik perhatian adalah, ketiga-tiga peruntukan tersebut bukan termaktub dalam belanjawan tahunan negara atau Akta Perbekalan tetapi termaktub dalam belanjawan tambahan atau Akta Perbekalan Tambahan.

Dengan kata lain, ketiga-tiga peruntukan tersebut termaktub dalam Akta Perbekalan Tambahan (2008) 2009, Akta Perbekalan Tambahan (2009) 2010 dan Akta Perbekalan Tambahan (2010) 2010. Maksud-maksud berkaitan berbunyi seperti berikut:

AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2008) 2009

Maksud B.6 – Jabatan Perdana Menteri

Sebanyak RM29,337,650 adalah untuk kos perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limitedbagi melaksanakan projek Global Strategic Communications tahun 2008.

AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2009) 2010

Maksud B.6 – Jabatan Perdana Menteri

Sebanyak RM28,350,000 untuk membiayai kos perjanjian pelaksanaan projek Global Strategic Communications Campaign antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited bagi tahun 2009.

AKTA PERBEKALAN TAMBAHAN (2010) 2010

Maksud B.06 – Jabatan Perdana Menteri

Sebanyak RM42,000,000 adalah dikehendaki untuk membiayai kos pelaksanaan perkhidmatan Public Affairs and Government Services dan Strategic Communication, Public Relations and Press Outreach.

Merujuk kepada kertas perintah berkenaan dengan Akta Perbekalan Tambahan (2008) 2009 dan Akta Perbekalan Tambahan (2009) 2010, RM57.68 juta telah dibayar oleh JPM antara tahun 2008 hingga 2009 kepada FBC Mediauntuk menjalankan projek ‘Global Strategic Communications Campaign’. RM29,337,650 telah dibayar pada tahun 2008 dan RM28,350,000 telah dibayar pada tahun 2009.

Merujuk kepada Akta Perbekalan Tambahan (2010) 2010, timbul kemusykilan berhubung kaitan antara FBC Mediadengan peruntukan sebanyak RM42,000,000 untuk membiayai kos pelaksanaan perkhidmatan Public Affairs and Government Services dan Strategic Communication, Public Relations and Press Outreach.

Ketiga-tiga kertas perintah Akta Perbekalan Tambahan di atas jelas menunjukkan jumlah perbelanjaan yang telah dipergunakan oleh pemimpin kerajaan. Projek yang melibatkan dana sebesar ini sememangnya memerlukan semakan atas prinsip akauntabiliti atau kebertanggungjawaban yang lebih terbuka. Sehingga kini, kita tidak jelas akan perbelanjaan sebenar dan aktiviti yang dijalankan di bawah projek tersebut. Selanjutnya, sebuah firma komunikasi awam dan hal ehwal strategi di Amerika Syarikat, APCO Worldwide telah didedahkan berkhidmat kepada FBC Media dengan bayaran $70,000 dalam tempoh dua tahun yang lalu untuk menjalankan kempen melobi di Amerika Syarikat bagi Kerajaan Malaysia.

Dengan yuran sebesar USD70,000 itu, antara perkhidmatan yang diberikan kononnya untuk mendukung dan mengangkat kempen Kerajaan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang pro-perniagaan, pro-pelaburan, pro-reformdan juga beberapa syor untuk menangani aktiviti pencegahan keganasan. Apakah serangan peribadi terhadap pemimpin politik negara ini juga dianggap sebagai ‘menangani aktiviti pencegahan keganasan’?

Tambahan lagi, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga didedahkan membayar FBC Mediasebanyak RM15 juta setahun untuk menjalankan kempen media secara haram memandangkan beliau sedang mengalami krisis publisiti berhubung tuduhan rasuah. SarawakReport mempunyai maklumat eksklusif yang dipersetujui antara FBC Media dan Taib Mahmud.

Dalam surat kepada Ketua Menteri pada bulan Januari, Pengerusi FBC Media, Alan Friedman, berikrar untuk berusaha menangkis ‘persepsi negatif dan kepalsuan’ yang telah merebak tidak adil mengenai perkara-perkara alam sekitar seperti Empangan Bakun, perlombongan kayu, kelapa sawit dan juga akan menentang tuduhan-tuduhan rasuah mengenai Taib Mahmud.

FBC Media kemudian akan ‘melantun kembali’ maklumat tersebut ke dalam akhbar Sarawak, pengiktirafan antarabangsa ini sekaligus membawa hasil yang positif untuk rakyat Sarawak. Lantaran itu, pelbagai persoalan timbul terutamanya isu bagaimana wang rakyat telah diselewengkan untuk membaiki reputasi diri pemimpin politik atas nama ‘negara’.

Menurut laporan The Malaysian Insider pada 12 Ogos 2011 , Kerajaan Malaysia telah menamatkan kontrak denganFBC Media selepas pendedahan skandal ini. The Malaysian Insider difahamkan bahawa JPM menamatkan kontrak dengan FBC Media kerana JPM telah mempunyai orang yang cukup untuk mengendalikan publisiti di dalam dan luar Negara. Namun demikian, KPRU tidak menganggap ini sebagai kata penutup kepada skandal tersebut. Kerajaan harus memberikan penjelasan kepada rakyat.

Masih banyak persoalan yang menanti jawapan JPM khususnya Perdana Menteri (PM) Najib. Antaranya, bilakah projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media mula dilaksanakan? Berapa lama sebenarnya tempoh kontrak perkhidmatan FBC Media? Berapakah jumlah bayaran sebenar oleh JPM kepada FBC Media?

Untuk menjelaskan pelbagai kemusykilan dan persoalan yang timbul, JPM harus mengumumkan segala butiran kontrak antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media, termasuk juga aktiviti yang telah dijalankan oleh APCOdalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang pro-perniagaan, pro-pelaburan, dan pro-reform? Setelah menggunakan perkhidmatan FBC Media, sejauh mana persepsi masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia telah diperbaiki? Contohnya, apakah pandangan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia ekoran kes kematian Altantuya?

FBC Media juga didapati berhubung dengan sepasukan blogger yang dipimpin oleh Josh Trevino, kononnya menjalankan kempen publisiti untuk Kerajaan Malaysia tetapi melakukan fitnah dan serangan peribadi terhadap musuh politik rejim pemerintah di Malaysia (baca: UMNO-Barisan Nasional (BN)). Laman web bernama New Ledger di bawah penyeliaan Josh Trevino, terdapat anggotanya, Rachel Motte, Christopher Badeaux, Leon Wolf dan Brad Jackson yang ditugaskan menulis artikel fitnah dalam blog. Mereka adalah golongan yang tidak berprofil di Amerika Syarikat dan bukan kepakaran yang diiktiraf di Malaysia.

New Ledger cuba untuk memusnahkan imej Ketua Pembangkang Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Amerika Syarikat. Tambahan pula, dengan mengeksploitasi prejudis dan kejahilan di Amerika Syarikat, agenda yang jelas dan sengaja telah mewujudkan ketakutan dan kebencian terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

SarawakReport telah mendapat laporan daripada orang-orang yang dekat dengan BN bahawa Josh Trevino telah ditauliahkan untuk menjalankan operasi blog yang dinyatakan dalam kontrak Media FBC dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan Malaysia. Ini terus disokong dengan bukti daripada gambar secara online. Josh telah menunjukkan kepada dunia bagaimana beliau dan Alan Friedman dan rakan sekerja FBC, Emily Lightfoot telah berkumpul bersama-sama di Putrajaya pada bulan Jun 2008. Juga terdapat banyak bukti bahawa Josh Trevino berhubungan rapat dengan Presiden FBC Media, John Defterios.

Berhubung dakwaan bahawa Kerajaan Malaysia membayar penulis-penulis blog ini melalui FBC Media yang berhubungan dengan Josh Trevino. Josh Trevino tidak lama dahulu telah menawarkan semua perbelanjaan dibayar bagi penulis blog rakan-rakannya ke Malaysia sebagai pulangan terhadap penulisan dalam blog mereka.

Skandal ini juga mempunyai kaitan dengan beberapa rangkaian penyiaran yang paling berprestij di dunia, termasuk CNBC, CNN, dan BBC World yang disokong oleh kerajaan British. Stesen-stesen tersebut telah menjalankan program-program yang ditauliahkan oleh Kerajaan Malaysia kepada FBC Media. Selepas pendedahan oleh SarawakReport bagi kempen ‘haram’ (illegal) antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media, CNBC dan BBC World telah membatalkan program FBC Media dan mengadakan penyiasatan tentang insiden ini.

Menurut undang-undang penyiaran, syarikat penyiaran seperti CNBC dan BBC harus bertanggungjawab terhadap pihak berkuasa perlesenan penyiaran tentang kandungan program mereka. Justeru, bagaimana mereka boleh membenarkan program yang bersifat ‘haram’ antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media ditayangkan sekian lama ini? CNBC juga dipersoalkan untuk memberi kenyataan kepada awam bahawa siapa yang mentauliahkan program ‘World Business’ daripada FBC Media?

CNN adalah satu lagi syarikat yang mempunyai banyak rangkaian hubungan dengan FBC Media. CNN telah menyatakan bahawa tidak ada kandungan yang songsang etika dalam pengaturcaraan mereka. Tiada kontrak antara CNN dengan FBC Media untuk menjalankan apa-apa kandungan editorial yang berkaitan dengan Malaysia. John Defterios adalah pengurus yang mengendalikan kebanyakan program perniagaan CNN.

Peranan John Defterios amat dicurigakan, beliau juga merupakan Presiden FBC Media yang menyelia pengaturcaraan. Beliau dikatakan telah memutuskan hubungan dengan FBC Media dan bekerja sepenuh masa di CNN. Walau bagaimanapun, tiada bukti yang yakin menunjukkan John Defterios memutuskan hubungan dengan FBC. Sebaliknya, beliau terus diiklankan di laman web mereka sebagai Presiden Kumpulan dan menyelia semua operasi dan beliau terus didaftarkan sebagai pengarah dan pemegang saham kedua-dua FBC Media dan syarikat induk FBC di UK. Tambahan pula, isterinya, Manuela Mirkos, kekal sebagai ahli sepenuh masa dalam syarikat itu. Terdapat dakwaan bahawa John Defterios merupakan orang yang dibayar oleh tokoh politik Malaysia dalam menjalankan program publisti ‘haram’ dalam CNN.

Kata tutupnya, KPRU berharap, JPM khususnya PM Najib tidak lagi senyap atau cuba mengetepikan isu ini. Beliau wajar memberi respons berhubung persoalan bagaimana wang rakyat dibelanjakan dalam perkara di atas. Bukankah respons PM adalah begitu penting dalam isu ini ekoran liputan luas oleh media antarabangsa berkenaan isu ini?

Daftar pemilih: 5 lagi nama untuk dijejak Sinar Harian





KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Ekoran Sinar Harian berjaya menjejaki En Azhar Bin Ahmad, Pn Besah Binti Mat dan En Mansor Bin Ahmad dan mengesahkan kesahihan kad pengenalan masing-masing, Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini mendedahkan lima lagi nama "jarang didengar".

Tindakan akhbar itu juga telah berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia untuk terus bersama Pemuda PAS membongkar ruang-ruang manipulasi dalam pilihanraya di negara kita.

Sambil mengucapkan terima kasih atas usaha murni akhbar bahasa Melayu itu, Exco dewan itu Suhaizan Kaiat mahu akhbar itu menjejaki lima lagi nama yang didakwa mempunyai klon kad pengenalan.

Lima nama yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

1. Jumaayah Bin Alus
No MyKad (pertama): 511122105834
No MyKad (kedua): 511122105754
Kedua-duanya dibezakan pada digit ke-10 dan ke-11.

2. Sainam Binti Tukisan
No MyKad (pertama): 500307105490
No MyKad (kedua): 500307105474
Kedua-duanya di bezakan pada digit ke 11 dan 12 sahaja.

3. Katimah Binti Kadni
No MyKad (pertama): 500808015282
No MyKad (kedua): 500808015290
Kedua-duanya dibezakan oleh digit ke-11 dan ke-12

4. Nesam Banu Bt Mohammad Fahmi (Pengundi Pos)
No Tentera (pertama): T373594
No Tentera (kedua): T375594
Kedua-dua nombor tentera ini dibezakan pada digit ke-4 sahaja.

5. Lanuddin Bin Ngah Mat Nasir (Pengundi Pos)
No Tentera (pertama): RF107781
No Tentera (kedua): RF107881
Kedua-dua nombor keanggotaan ini dibezakan pada digit ke-6.

"Oleh itu saya mohon kepada Pihak Sinar Harian dan mana-mana pihak agar membuat semakkan terhadap data tersebut," kata Suhaizan yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Pusat.

Mengulas kenyataan salah seorang Besah yang dipetik akhbar itu sebagai berkata bahawa beliau kesal dengan fitnah PAS yang menuduhnya mengundi dua kali, Suhaizan berkata tidak timbul soal tuduh-menuduh itu.

Ia kerana pihak mereka sedang membuat kajian terhadap kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR seperti yang pernah di sebut oleh Timbalan Pengerusi SPR Dato Wan Ahmad bin Wan Omar pada 24hb Julai 2011 dalam akhbar The Star.

"Pemuda PAS tetap yakin bahawa pengundi hantu atau pengundi klon benar-benar wujud dalam daftar pemilih SPR. Enam data yang saya keluarkan hanyalah 6 daripada ribuan data yang dimiliki oleh Dewan Pemuda PAS.

"Kajian tahap satu telah pemuda PAS lakanakan dengan menggunakan nama yang biasa dimiliki oleh rakyat Malaysia. Maka langkah seterusnya adalah PemudaPAS mahu mengeluarkan enam data bagi nama-nama yang jarang dimiliki oleh rakyat Malaysia," katanya merujuk kepada nama-nama seperti telah dinyatakan di atas.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada En Azhar Bin Ahmad, Pn Besah Binti Mat dan En Mansor Bin Ahmad yang telah mengesahkan kesahihan kad pengenalan masing-masing.

Wednesday, August 10, 2011

Umno sekat ilmu agama untuk kekal berkuasa

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Tindakan Umno BN yang menyekat perkembangan ilmu, terutama ilmu agama yang membabitkan tasauf, dari disebarkan di masjid-masjid amat dikesali kerana ia jelas bertujuan untuk membolehkan parti itu kekal berkuasa, walaupun jelas akan merugikan rakyat.

Dengan tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh parti itu, rakyat negara ini pasti akan kerugian berpanjangan, terutama dari segi perkembangan kerohanian, peningkatan iman serta amal, jika terus berada di bawah pemerintahan Umno BN.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Perak, Norazli Musa menegaskan, tindakan Umno yang menyekat perkembangan ilmu di kalangan rakyat amat jelas apabila diteliti peraturan yang dikenakan oleh mereka bagi penyampaian tazkirah di masjid-masjid.

Menurut beliau, antara peraturan yang dikenakan itu termasuklah larangan kepada para penceramah menyampaikan ceramah-ceramah yang menyentuh perkara-perkara besar terutama tasauf dan kepentingan politik Islam kepada umat Islam.

Katanya, tindakan tersebut dilakukan untuk menjadikan rakyat jahil tentang tasauf dan ilmu politik Islam kerana jika rakyat memahami ilmu-ilmu itu dibimbangi rakyat tidak akan menyokong Umno BN dalam pilihanraya.

"Dengan itu, ceramah-ceramah agama yang didakan di masjid-masjid, di surau-surau di seluruh negara terutama yang membabitkan para penceramah yang menyokong Umno BN hanyalah membicarakan perkara-perkara kecil, rendah atau asas sahaja yang sudah diketahui dengan jelas oleh orang ramai.

"Antara perkara yang disentuh hanyalah seperti cara mengambil wuduk, jenis-jenis air, haid, nifas, nikah, kahwin dan sebagainya yang hanyalah perkara-perkara asas sahaja yang terdapat dalam ilmu fekah.

"Perkara-perkara lain yang besar, penting seperti tauhid, tasauf, politik Islam, jihad tidak boleh disampaikan kerana dilarang oleh para pemimpin Umno BN menerusi sekatan-sekatan tertentu sama ada secara langsung atau tidak langsung di masjid-masjid dan surau-surau," katanya ketika menjawab soalan salah seorang peserta pada majlis tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Dengan keadaan itu, menurutnya, ceramah-ceramah yang diadakan di masjid-masjid, surau- surau yang dikuasai Umno BN itu dengan sendirinya tidak memerlukan penceramah-penceramah yang hebat.

Katanya, kalaupun penceramah-penceramah itu juga tergolong dalam golongan penceramah hebat seperti mufti, mereka juga tidak perlu membaca banyak kitab untuk meneliti banyak perkara besar kerana ceramah-ceramah yang perlu disampaikan hanyalah membabitkan perkara-perkara kecil sahaja.

"Dengan itu, secara langsung, jika terdapat soal jawab dalam ceramah tersebut sekiranya ada ruang soal jawab yang dibuka oleh penceramah kepada orang ramai, soalan-soalan yang dikemukakan oleh para peserta juga tentu sekali hanyalah perkara-perkara kecil yang tidak menimbulkan sebarang kerumitan untuk dijawab oleh penceramah-penceramah itu," katanya.

Perkara itu, tegasnya, berbeza dengan ustaz haraqi yang tentunya boleh mengajar pelbagai bidang dalam Islam termasuk tauhid, fekah, usuludin, tasauf, politik Islam, jihad dan sebagainya, sejajar dengan tahap pengajian mereka yang tinggi yang meliputi pelbagai bidang pengajian dalam Islam.

Ceramah-ceramah yang melibatkan ustaz haraqi atau guru-guru tasauf itu, tegas beliau, tentunya bukan anjuran pihak yang mempunyai kaitan dengan Umno BN, tetapi PAS dan NGO-NGO Islam.

"Walaupun para pemimpin Umno BN berusaha keras untuk terus menjahilkan rakyat dalam agama terutama yang menyentuh tentang tasauf, politik Islam dan jihad untuk mengelakkan rakyat menentang mereka balik, PAS dan NGO-NGO Islam tetap berusaha mendokong perkembangan ilmu dengan mengadakan pelbagai majlis ilmu di seluruh negara.

"Kalau di Kuala Lumpur, hanya nak belajar atau tak nak belajar sahaja, majlis-majlis ilmu anjuran PAS dan NGO-NGO Islam itu berada di mana-mana. Begitulah juga di tempat-tempat lain di seluruh negara," katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Ipoh Barat.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Taliban menegaskan, setiap umat Islam perlu bijak mengambil peluang untuk mengikuti majlis-majlis ilmu itu bagi menambah ilmu kerana ia sememangnya diadakan untuk setiap umat Islam yang juga untuk setiap manusia oleh pejuang-pejuang Islam.

"Tindakan para pejuang Islam tentunya berbeza sama sekali dengan pihak Umno. Kepada pejuang-pejuang Islam, setiap ilmu yang dimiliki apatah lagi ilmu-ilmu yang membabitkan perkara besar dan penting pasti akan diusahakan disebarkan kepada orang ramai, berbanding tindakan Umno BN yang hinggakan nak bagi kuliah pun nak menyusahkan," ujar beliau.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4840-umno-sekat-ilmu-agama-untuk-kekal-berkuasa